Skip to main content

LGBT: Aku Keliru! Kembali kepada Fitrah

 



Semalam saya berkesempatan berkongsi sedikit ilmu yang ada kepada pelajar di IPG Bangi berkaitan tentang isu LGBT. Isu LGBT adalah isu sejagat, yang tidak dinafikan melanda seluruh dunia. Betapa besarnya cabaran remaja/individu dewasa ini dengan pelbagai dugaan kehidupan dan pendedahan cara hidup yang pelbagai, pelik dan menyimpang. 

Saya berpengalaman mengendalikan beberapa kes yang melibatkan golongan LGBT. Kebetulan, semua yang saya temui beragama Islam dan berbangsa Melayu. Saya dapati, konflik dalaman golongan LGBT yang dibesarkan oleh nilai agama akan mengalami konflik dalaman yang lebih serius berbanding individu yang mungkin dibesarkan dengan kebebasan nilai dan kurang didikan agama, atau barangkali dibesarkan dalam lingkungan keluarga yang berfikiran bebas dan terbuka. 

Timbul persoalan, lantas bagaimana kita menyantuni mereka? Perlukah kita bersifat keras, melabel dan memulau? Memberi satu bentuk tekanan untuk mereka berubah? Bagi seorang kaunselor pula, bagaimana pendekatan yang perlu diambil oleh seorang kaunselor muslim? Kita sedia maklum, kaunselor tidak boleh impose nilai mereka kepada kaunselor, jadi timbul persoalan sejauh mana kita boleh bersifat terbuka kepada pilihan klien kita? Adakah kita main berserah sahaja atau kita cuba merasionalkan pilihan, namun akhirnya meletakkan pilihan itu ditangan mereka sendiri? 

Saya mengamati, golongan LGBT yang dibesarkan dalam lingkungan keluarga Islam, amat sedar sekali akan pertembungan di antara nilai agama dan kehendak naluri dalam hal ini. Sepertimana yang saya jelaskan kepada audien pelajar saya tempoh hari, bahawa, bila bercakap tentang orientasi seksual LGBT dan Islam, ia seperti kutub utara dan selatan, seperti minyak dan air, yang tidak kita akan jumpa titik temunya. Inilah yang menimbulkan gelora perasaan golongan LGBT. Mereka masih sayangkan agama, namun masa yang sama, menyedari kehendak mereka yang berlawanan dengan ajaran agama, yang melawan fitrah. 

Kerap kali, situasi ini menghasilkan - emosi kebimbangan dalam diri, rasa bersalah, rasa sedih dan kecewa dan takut. Mereka takut dengan keinginan mereka sendiri, namun pada masa yang sama seperti tidak dapat mengawal keinginan tersebut. Bukan sedikit yang memendam konflik ini secara dalaman, yang berperang dengan diri sendiri, yang takut penerimaan orang sekeliling, takut mengecewakan keluarga, takut dilabel pendosa! Jika berlarutan, itulah yang mencetuskan isu kesihatan mental lebih serius seperti trauma, PTSD, kemurungan dan mungkin keinginan bunuh diri. 

Tidak ada manusia yang boleh hidup bertenang jika dalamannya sedang berkonflik, apatah lagi sesuatu yang melibatkan agama dan naluri seperti LGBT. Kerana itu, lazimnya, untuk keluar dari kemelut sebegini, beberapa jenis tindakan akan berlaku iaitu samada:
  • menolak keinginan dan memilih agama
  • menolak agama dan memilih keinginan
  • mengintegrasi agama dan keinginan
  • compartmentalizing di antara agama dan naluri
  • atau berterusan hidup dalam konflik
sungguh kasihan

Dari aspek kaunseling, mudah untuk kita membimbing jika klien berada pada fasa awal kecenderungan LGBT ini, iaitu pada fasa dia mula menyedari keinginan berlawanan jenis yang wujud dalam dirinya dan justeru datang kepada kita untuk meminta pandangan dan pertolongan. Yang menjadi cabaran ialah apabila penglibatan dalam LGBT sudah berada pada peringkat yang serius, seperti mempunyai teman lelaki/wanita, mempunyai rakan-rakan kelompok LGBT dan mempunyai gaya hidup LGBT yang telah bertahun diamalkan. Bukan mudah untuk keluar dari kelompok dan gaya hidup yang kita telah biasa dengannya. Ia sama seperti seorang penagih yang mahu meninggalkan dadah! 

putus asa...

Jangan berputus asa. Saya yakin bahawa, Allah tidak zalim kepada hambanya. Dengan niat yang betul untuk mencari kebenaran dan jalan penyelesaian, pasti kebenaran akan muncul. Namun, ia memerlukan beberapa perkara.

Kekuatan individu itu sendiri. Mampu merefleksi secara rasional kecenderungan dirinya, mempunyai kekuatan untuk menepis dugaan dan mungkin kata-kata negatif orang lain. Peranan keluarga, kawan-kawan dan organisasi agama juga penting.

Kurangkan menghina golongan ini sebagai 'ahli neraka, kafir, pendosa dan sebagainya.' Ia cuma akan menjauhkan sahaja individu yang sedang berusaha mencari jalan keluar dari kemelut mereka. Dampingilah dengan berhemah, jadikanlah Rasulullah saw sebagai contoh terbaik menyantuni musuh-musuhnya. Dekati dengan kasih sayang, memahami konflik dan kemelut yang mereka sedang alami, belas ihsan dan ilmu yang cukup untuk membimbing mereka. Musuh sebenar orang Islam adalah saudaranya sendiri, bilamana kita mengambil pendekatan tidak peduli, kerana tidak peduli itu akan membawa kepada tiada toleransi. Saya lebih suka menganggap golongan seperti ini sebagai golongan yang masih belum bertemu jalan kebenaran, atau mereka yang masih keliru dan terkapai-kapai untuk keluar dari kemelut, justeru mereka perlu suara-suara rasional dan yang mereka boleh percayai untuk memberi maklumat dan nasihat yang betul. Kutukan dan hinaan hanya akan menjauhkan mereka untuk dibantu. 

Namun ramai juga golongan yang mempunyai kecenderungan LGBT ini tidak pun merealisasikan keinginan mereka. Mereka sedar tentang fikiran dan kemahuan mereka ini, namun tidak sampai hendak melakukannya. Ia terhenti setakat itu. Dalam erti kata lain, mereka sedar pemikiran yang wujud namun tidak terbawa hanyut atau dikuasai olehnya.

Sungguh, kecenderungan seksual yang menyimpang dari kebiasaan ini juga adalah bentuk-bentuk ujian kepada kita. Setiap orang diuji berbeza kan. Ada diuji dengan perkahwinan, dengan anak, dengan rakan sekerja, dengan pekerjaan, dengan penyakit dan kesakitan, namun ada segelintir pula yang diduga oleh kecenderungan seksual yang berlawanan dari tabii. Ini adalah ujian dan bukannya hukuman. What you are struggling shouldnt define you or allow you to become your identifier. You are survivor, not a sinner. 

Carilah core belief dalam diri kita. Insha Allah, dengan izinNya ada jalan penyelesaian. Kebaikan adalah sesuatu yang dinamik, yang baik waktu kecil bukan selamanya baik hingga besar, begitu juga, yang mungkin banyak buat kesilapan di usia mudanya mungkin menjadi sebaik-baik manusia di penghujung hayatnya. Jangan berhenti berharap untuk bertemu dengan kebenaran. 




Comments